Sunday, 9 March 2014

Selamat Hari Lahir Ibu

          Ibu merupakan hadiah yang terbaik yang pernah Tuhan turunkan kepada kita. Ibu adalah seperti cahaya yang sentiasa tanpa lelah menyinari hidup kita. Setiap hari tanpa jemu, ibu sentiasa mengambil berat tentang kita. Adakah kita makan tepat pada waktunya? Adakah kita sihat? Dan sekiranya kita keluar, apakah yang tengah kita buat dan dengan siapa kita berjalan? Soalan-soalan yang kerap kali menjengah di minda ibu walaupun tanpa kita sedar. Sewaktu kecil apabila tiba hari lahir kita, ibu akan membeli atau menyediakan kek untuk menyambut hari kelahiran kita. Tanpa lelah, ibu sentiasa ada di kala kita sedih ataupun gembira.
          Bercakap mengenai ibu,  hari lahir ibu saya adalah pada 21 Februari. Walaupun bapa saya mengatakan tarikh itu bukan merupakan hari lahir ibu saya yang sebenar, namun adik-beradik saya tetap menganggap itu merupakan hari lahir ibu memandangkan ibu saya sendiri tidak mengingati hari lahirnya yang sebenar.
          Pada tanggal tersebut tahun ini, saya merupakan orang terakhir yang mengucapkan selamat kepada ibu saya memandangkan saya sangat sibuk dengan tugasan dan karnival yang bakal dianjurkan oleh kolej saya. Kebiasaannya saya adalah orang yang pertama mengucapkan selamat kepada ibu, namun mungkin disebabkan jarak yang jauh menyukarkan saya untuk mengucapkannya dengan lebih awal. Maafkan saya ibu...
          Sewaktu kecil, pada hari ibu ataupun hari lahir ibu saya, saya tak lupa untuk membuat kad kepada ibu saya. Masih segar lagi di ingatan ketika saya berusia 8 tahun, setelah saya pandai membuat kad ucapan, saya telah memberikan kad ucapan selamat hari ibu kepada ibu saya buat pertama kali. Pada ketika itu, ibu saya menitikkan air mata dan mencium kepala saya. Saya sangat terkejut dan saya langsung tidak memahami mengapa ibu saya menangis waktu itu. Namun kini saya mengerti. Walaupun saya belum berkahwin mahupun mempunyai anak, namun saya tahu waktu itu ibu tentu sangat terharu dengan apa yang telah saya lakukan.
          Dan sekarang, oleh kerana saya sedang belajar, saya masih lagi tidak mampu untuk memberikan hadiah yang mewah untuk ibu saya. Saya hanya dapat memberikan keputusan-keputusan peperiksaan saya sebagai hadiah. Walaupun keputusan itu tidaklah seberapa mana namun saya gembira sekiranya ibu saya tersenyum melihat keputusan itu. Melihat senyuman ibu merupakan hadiah yang sangat berharga buat saya. Saya sangat bersyukur kerana Allah masih lagi mengurniakan saya dengan seorang yang bergelar ibu. Tanpa ibu, saya mungkin tidak dapat berdiri seperti sekarang. Terima kasih ibu atas segalanya dan selamat hari lahir.


p/s:  SAYA SAYANG IBU...

No comments:

Post a Comment